Memaparkan catatan dengan label Artikel. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Artikel. Papar semua catatan

20 Mei 2010 Motivasi Untuk Diri


KENAPA AKU DIUJI?

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman”, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji org2 yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang2 yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang2 yang dusta”. – (Surah Al-Ankabut ayat 2-3)

KENAPA AKU TAK DAPAT APA YANG AKU IDAM-IDAMKAN?

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu mengakui sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”- (Surah Al-Baqarah ayat 216)

KENAPA UJIAN SEBERAT INI?

“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” – (Surah Al-Baqarah ayat 286)

RASA FRUST?

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.” – (Surah Al-Imran ayat 139)

BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?

“Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu ( menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang kebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah ( dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah bersempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya ( mencapai kemenangan ).”- (Surah Al-Imran ayat 200)
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”. –( Surah Al-Baqarah ayat 45)

APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?

“Sesungguhnya Allah telah membeli dr orang-orang mukmin,diri,harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka….- (Surah At-Taubah ayat 111)

KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?

“Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadanya aku bertawakkal.” –( Surah At-Taubah ayat 129)

AKU DAH TAK DAPAT BERTAHAN LAGI!!!

“……dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.” – (Surah Yusuf ayat 12)

Ujian adalah tarbiyah dari Allah.Apakah kita ?kan sabar ataupun sebaliknya....Kesenangan yang datang selepas kesusahan...Semuanya adalah nikmat dari tuhan....



Free Template Blogger Hot Deals BERITA_wongANteng SEO
Digg it StumbleUpon del.icio.us

06 Mei 2010 Muslim tidak sepi hadapi ujian

ALLAH berfirman dalam ayat 2-3 Surah al-Ankabut yang bermaksud: "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman," sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (2) Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta."(3)

Firman-Nya lagi dalam ayat 2 Surah al-Mulk maksudnya: "Dialah (Allah) yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) -untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)."

Sementara dalam ayat 214 Surah al-Baqarah pula, Allah SWT berfirman maksudnya: "Apakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu
daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)."

Dalam sebuah hadis disebut, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Apabila Allah SWT sayang kepada hamba-Nya, maka Dia akan mengujinya."

Ketiga-tiga ayat dan hadis yang tersebut di atas menggambarkan kepada kita selaku Muslim, betapa Allah SWT tidak akan membiarkan kita hidup dengan sifar ujian atau tribulasi, malah kesemua kita akan menerima ujian mengikut kekuatan iman dan pegangan kita kepada agama-Nya.

Ini tidak lain adalah untuk mengetahui sejauh mana iman kita yang sebenar dan kita pura-pura beriman kepada-Nya.
Sesungguhnya menurut para ulama, ujian dan tribulasi adalah satu peraturan yang telah ditentukan Allah dalam dunia dakwah untuk menyeru manusia kepada kebenaran sepanjang masa tanpa berhenti sejak Allah menciptakan bumi ini dan apa-apa
yang ada di atasnya.

Justeru, bagi golongan pendakwah, mereka sentiasa terdedah kepada risiko ujian dan tribulasi yang sebenarnya, menjadi asam garam dalam perjuangan, malah memantapkan lagi tugasan mereka menyeru manusia kepada Allah SWT. Ini kerana ia adalah sunnatullah yang pernah berlaku kepada baginda Rasulullah, para sahabat, tabi'in serta generasi para ulama hingga ke hari ini.

Apa pun para pendakwah perlu memelihara aspek berikut bagi memastikan kesinambungan dakwah terus berlangsung:

1. Mendekatkan diri kepada Allah dan meletakkan al-Quran perkara penting ketika berdakwah -
Perkara paling penting yang mesti dilakukan oleh para pendakwah atau mana-mana individu Muslim yang menghadapi tribulasi ujian, memperbaiki hubungan baik kepada Allah dengan berniat semua yang dilakukannya adalah kerana-Nya.

Dialah sahaja tempat bergantung harap dan menyampaikan pengaduan. Al-Quranlah satu-satunya wasilah terbaik bagi melakukan hubungan terhadap-Nya, ini kerana sesiapa yang berpegang teguh kepadanya, akan diselamatkan Allah walaupun menerima pelbagai tekanan manusia durjana yang menghalangi kerja-kerja dakwah.

2. Sentiasa berpegang teguh kepada taat setia rukun bai'ah - ia mengandungi 10 rukun seperti yang diketengahkan oleh Imam Syahid Hasan al-Banna, iaitu konsep faham, ikhlas, beramal, berjihad/berjuang, sanggup berkorban, cekal, tetap pendirian, memberikan ketaatan maksimum, persaudaraan dan percaya kepada kepimpinan. Ia juga dijelmakan melalui pembentukan syaksiah jati diri Muslim dengan memaparkan akhlak-akhlak terpuji yang mencerminkan empunya diri bersedia menerima sebarang kemungkinan termasuklah tribulasi yang mendatang.

3. Memperkasa jalinan ukhuwwah dan penyatuan saf kerja - Aspek ini juga dianggap penting kerana sahabat-sahabat dalam satu saf jemaah adalah mereka yang sentiasa bersedia memberi sokongan, justeru memperkasa jalinan ukhuwwah adalah tersangat penting bagi mendapat sokongan padu dalam berjemaah.

4. Cekal dan saling mempercayai kepimpinan adalah tunjang kekuatan jemaah - ia adalah antara ciri terpenting dalam memastikan kesinambungan dakwah dengan meyakini janji-janji Allah dengan memelihara kesetiaan kepada pimpinan dengan melaksanakan manhaj yang tepat dan tetap serta mengharapkan pertolongan daripada Allah SWT dengan tidak berganjak sedikit pun di belakang pimpinan.

5. Tidak berganjak daripada manhaj dan pendekatan dakwah walau ditohmah -

Ini adalah salah satu tanggungjawab Muslim yang bekerja secara padu dalam gerakan Islam dengan sanggup berhadapan dengan pelbagai tribulasi dan ujian, kerana istilah takut hanya diberikan kepada Allah SWT.

Ia bertepatan dengan firman Allah menerusi ayat 83 surah an-Nisa' yang bermaksud:

"Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada -"Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) di anfara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihan-Nya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut syaitan kecuali sedikit sahaja.(iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu)."

6. Berwaspada serta tidak bertindak secara sendiri - Antara pantang larang dalam berjamaah ialah Muslim di dalamnya mestilah sentiasa memiliki sifat kewaspadaan yang tidak menjurus kepada takut dalam bertindak. Tindakannya pula tidak bersifat bersendiri kerana kemenangan daripada Allah tidak dianugerahkan kepada individu, malah kepada jemaah, oleh itu jika terdapat sikap ahli gerakan Islam atau mana-mana jemaah yang bertindak secara solo dalam tindakannya, kemungkinan besar ia akan menghadapi tribulasi akibat kebodohannya sendiri.

7. Beramal secara bersungguh-sungguh - adalah satu lagi produk penting dalam berjemaah, seboleh-bolehnya elakkan dari banyak bertikam lidah atau bertelingkah pada perkara cabang, kata-katanya mesti menepati tindakan yang mencerminkan sebagai anggota gerakan Islam yang matang dan berwibawa, setiap kata-kata yang terbit melambangkan kepekaannya kepada intipati al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

8. Memperdalami selok belok dakwah generasi terdahulu sebagai contoh untuk berdakwah - Sesungguhnya generasi di kalangan para sahabat dan tabi'in adalah 'role model' terbaik untuk dijadikan contoh dalam disiplin mereka dalam memberikan wala' kepada kepimpinan, sabar, tekun, cekal adalah modal mereka dalam meniti perjuangan menghadapi tribulasi serta mencapai kemenangan daripada Allah SWT.

Hikmah ditimpa ujian

Para ulama bersepakat, bahawa hikmah yang boleh disimpulkan dalam ujian ini, antaranya:

1. Untuk mencapai pengabdian hakiki kepada Allah SWT.

2. Ujian yang menimpa umat Islam secara khusus, adalah untuk mematangkan mereka dalam kehidupan di muka bumi ini.

3. Bertujuan untuk menghapuskan dosa yang dilakukan oleh manusia.

4. Bertujuan untuk memperolehi pahala serta memartabatkan kedudukan mereka di sisi Allah SWT.

5. Dengan adanya ujian, ia memberi peluang kepada manusia untuk memikirkan akan segala kesalahan yang dilakukan pada diri sendiri dan orang lain pada masa lampau.

6. Ujian merupakan satu pengajaran untuk kembali bertauhidkan kepada Allah.

7. Ujian juga mampu untuk menghilangkan rasa ego dalam diri dan menyediakan jalan untuk mendekati Allah.

8. Ujian ditimpakan ke atas manusia adalah untuk menyedarkan mereka akan kelebihan yang ada pada diri mereka setelah diuji.

9. Ujian juga berperanan untuk mendidik manusia menjadi matang dan mantap dalam segenap aspek kehidupan mereka.

10. Untuk mengenal kawan sebenar atau kawan yang berkepentingan, ia boleh didapati setelah adanya ujian daripada Allah.

11. Ujian juga mampu untuk mengingatkan manusia akan segala kesalahan sebagai persiapan untuk bertaubat kepada Allah.

12. Ujian mampu menyingkap hakikat sebenar dunia yang menjanjikan pelbagai tipu daya.

13. Ujian mampu untuk mengingatkan manusia akan kelebihan nikmat kesihatan dan kurniaan Allah.

14. Ujian menjanjikan kerinduan manusia untuk memasuki syurga Allah.



ORIGINAL ARTICLE:

Almuslimin.net



Free Template Blogger Hot Deals BERITA_wongANteng SEO
Digg it StumbleUpon del.icio.us

01 Mei 2010 Catur, X-Box, Play Station : Hukum Main, Jual & Kerja


Apakah hukumnya bagi seseorang yang bekerja sebagai seorang pereka grafik @ animasi untuk permainan komputer @ yang terlibat dalam pembikinan games itu sendiri? Apakah hukum bermainnya pula?. Adakah pekerjaan tersebut dikira sebagai haram dilaksanakan kerana secara asasnya, permainan komputer kadang-kala melekakan pemainnya? adakah pereka games tersebut menanggung dosa pemain tersebut sekiranya mereka bermain sehingga meninggalkan solat, sebagai contoh?

Jawapan

Bagi memberikan jawapan dalam hal ini, pertamanya kita perlu menentukan terlebih dahulu APAKAH HUKUM PERMAINAN GAMES ITU SENDIRI?, hanya selepas itu kita mampu mengetahui hukum individu yang bekerja dalam pembikinannya.

Bagi mengetahui hukum sesebuah permainan, saya suka untuk merujuk kepada perbahasan ulama dalam bab hukum bermain catur. Benar, di zaman silam tiada play station 3, x-box, wii-games dan yang sepertinya, antara permainan yang ada serta mempunyai beberapa persamaan adalah catur . Justeru saya meyakini dengan memahami hukum catur, kita akan dapat menentukan sikap terhadap permainan moden yang disebut tadi, dari sudut asasnya.

Saya tidak ingin mengulas terlalu panjang lebar dan terlalu ilmiah sambil menyertakan perdebatan ulama berkisar hukum bermain catur, cukuplah saya menghidangkan ringkasan sahaja. Secara umumnya di dalam perbincangan hukum permainan catur, ilmuan Islam berbeza kepada tiga jenis pendapat :-

1) Harus : Namun Dengan Syarat



Antara yang paling diketengahkan dalam kumpulan ini dari kalangan ulama kontemporari adalah Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi. Beliau juga menyandarkan pendapat HARUS ini kepada beberapa orang sahabat seperti Ibn Abbas, Abu Hurairah, dan tabi'en seperti Said al-Musayyab dan malah Imam al-Baihaqi ada meriwayatkan beberapa ulama terhebat tabien yang turut bermain catur seperti Said ibn Jubair, As-Sya'by dan lain-lain. Imam Al-Ghazzali juga turut tergolong dalam kelompok ini. ( As-Sunan al-kubra, al-bayhaqi, 10/211)

Justeru, Al-Qaradawi dalam fatwanya menyebut :

Menurut pendapat dan ilmu kami bahawa permainan catur itu menurut hukum asalnya adalah mubah(harus), sebab tidak ada dalil yang menunjukkan pengharaman catur, malah selain daripada ia dikira lahwun (lalai) dan hiburan, catur mempunyai nilai positif yang berperanan sebagai merupakan sukan minda dan melatih berfikir.

Antara syarat yang diletakkan oleh Al-Qaradawi :-

· Tidak menangguhkan waktu solat dan kewajiban lain disebabkan keasyikan permainan itu.

· Tidak disertai dengan judi dan pertaruhan.

· Hendaknya pemain dapat menjaga lisannya dari perkataan kotor seperti maki hamun kerana tewas dan sebagainya. ( Al-Halal wal Haram Fil Islam, hlm 273, cet Al-Maktab Al-Islami)



Melalui pendapat ini, jelas bahawa sebab-sebab pengharaman yang mungkin datang bukanlah kerana catur atau permainan itu sendiri, tetapi lebih kepada sebab-sebab luaran.



Oleh itu, jika berdasarkan pendapat ini, games moden turut diharuskan dengan syarat yang disebut oleh al-Qaradawi dan ditambah satu lagi menurut pendapat saya iaitu : mestilah intipati games yang direka cipta atau dbeli itu tidak bercanggah dengan Islam dan hukumnya. Iaitu konsepnya, ideanya, gambarnya dan lain-lain.



2) Haram : Yang melarang



Antara mereka adalah Ali bin Abi Talib r.a, Ibn Umar r.a, Ibn Abbas r.a, Mazhab Hanafi, Hanbali, dan Maliki. Demikian juga Ibn Taymiah dan kebanyakan ulama kontemporari Saudi, pandangan haram ini juga dinisbahkan kepada beberapa orang sahabat seperti Ibn Umar. Imam Abu Hanifah dan Imam Malik turut termasuk dari mereka yang mengharamkannya. Demikian dinukilan oleh Imam Ibn Qudamah dan lain-lainnya. ( Mughni, 10/172)

Ulama kontemporari Saudi turut mengharamkannya malah mereka mengatakan semua syarat yang diletakkan oleh Qaradawi itu amat jarang dipenuhi oleh sang pemain.

Ibnu Taimiyah pernah berbicara panjang di dalam masalah ini, dari halaman 216 hingga halaman 245 jilid XXXII dari kitab Majmu Fatawa, antara kata beliau :

"Misalnya kita tetapkan bahwa permainan catur itu bebas dari itu semua -maksudnya tidak melalaikan kewajiban dan tidak akan melakukan hal yang haram- maka larangan perbuatan itu ditetapkan oleh para sahabat. Sebagaimana yang sohih dari Ali bin Abi Thalib Radhiyallahu ‘anhu, bahwa beliau pernah menjumpai kaum yang sedang bermain catur. Lalu beliau mengatakan

ما هذه التماثيل التي أنتم لها عاكفون لأن يمس جمرا حتى يطفأ خير له من أن يمسها

Ertinya : "Mengapa kamu menekuni patung ini? Sungguh jika salah satu diantara kamu menggengam bara api sampai padam itu lebih baik daripada memegang catur" ( Riwayat Al-Baihaqi, 10/212)

Kumpulan yang mengharamkan mengatakan penyamaan mainan catur dengan patung (berhala) yang dibuat oleh Ali itu jelas menunjukkan bahawa ia satu permainan yang haram.

Ibn Taimiah pula menisbahkan Imam Syafie sebagai berkata : "Permainan yang paling aku benci adalah an-nard, permainan catur dan permainan burung dara sekalipun tanpa perjudian. Sekalipun kebencian kami kepada permainan itu lebih ringan dari pada permainan dadu"

Namun demikian, apa yang jelas, tiada satu hadis yang sohih menyatakan pengharaman catur, hanya wujud adalah perdebatan berkenaan pandangan para sahabat sahaja. Cuma Imam Ibn Qudama cuba membawa dalil berikut sebagai hadis pengharamannya :-

إن الله عز وجل ينظر في كل يوم ثلاثمائة وستين نظرة ليس لصاحب الشاه فيها نصيب

Ertinya : Sesungguhnya Allah swt sentiasa melihat (kepada hambanya) pada setiap hari sebanyak 360 kali pandangan, dan orang yang bermain catur ini tiada termasuk dari kalangannya ( Al-Mughni, 10/172)

Ibn Qudamah kemudiannya terus menghuraikan pemain catur sama seperti pemain an-nard kerana lalainya mereka semasa bermain dari ingatan terhadap Allah swt. Namun demikian, penyamaan ini (qiyas) ini ditolak oleh ulama Syafie kerana perbezaan konsep asas antara kedua permainan tadi.



3) Makruh (tidak begitu digalakkan)

Antaranya adalah Imam As-Syafie dan merupakan pandangan mazhab Syafie

Imam Syafie berkata :

إذا خلا الشطرنج عن الرهان واللسان عن الطغيان والصلاة عن النسيان لم يكن حراماً

Ertinya : Apabila catur tidak besertanya pertaruhan dan kata-kata maki hamun, melupakan solat, maka ia TIDAK lah termasuk dari yang haram ( Tafsir Ibn Kathir, 6/40 )



Imam an-Nawawi menjelaskan pendirian mazhab Syafie dengan katanya :-

وأما الشطرنج فمذهبنا أنه مكروه ليس بحرام وهو مروي عن جماعة من التابعين وقال مالك وأحمد حرام قال مالك هو شر من النرد وألهى عن الخير وقاسوه على النرد وأصحابنا يمنعون القياس

Ertinya : Adapun catur, dalam mazhab kami (Syafie) ia adalah makruh dan tidak jatuh haram, dan ia (keharusannya) juga diriwayatkan dari kumpulan tabien; namun menurut Imam Malik dan Ahmad, ia adalah haram dan Imam Malik berkata ia lebih buruk dari An-Nard ( sejenis permainan arab yang berasakan judi), serta melekakan diri dari kebaikan, justeru mereka menqiyaskan catur dengan an-nard, namun dalam ahli-ahli dalam mazhab kami (Syafie) tidak bersetuju dengan qiyas tersebut. ( Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, hadis no 2260, jil 15, hlm 15)

Imam al-Ghazali pula memberikan perbezaan antara catur dengan an-nard dengan hujjahnya ia berbeza adalah kerana :

Catur adalah mainan latihan perangkaan strategi perang, ia lebih mirip kepada sukan memanah, berkuda dan berlumba ( dari sudut manfaatnya) ( Rujuk Al-Wasit, 7/353 )



KESIMPULAN HUKUM CATUR

Dari sudut dalil yang diberi serta banyak lagi yang tidak disertakan, saya berpandangan yang HARUS TETAPI MAKRUH JIKA BERLEBIHAN adalah lebih kukuh.

Tidak dinafikan bagi seseorang yang ulama atau ahli agama, pandangan YANG MENGHARAMKAN tentunya terpakai untuk dirinya. Bukankah status kedudukan para ulama itu menjadikan dirinya perlu lebih ketat dalam pengalaman berbanding orang awam. Sebagai kata-0kata yang kerap kita dengari

"kebaikan yang dilakukan oleh orang awam, masih dikira keburukan bagi seorang yang hampir dengan Allah swt"

Ertinya bagi seorang yang soleh, mengkahatamkan al-quran sebanyak satu kali pada bulan Ramadhan boleh dianggap satu kesalahan dan aib, berbanding orang awam yang dikira sebagai satu kejayaan besar. Jika piawaian ini diambil kira bolehlah kita katakan, pandangan ‘HARUS DENGAN SYARAT' atau ‘MAKRUH' lebih ringan untuk dihidangkan kepada orang awam khususnya : -

* Tiada dalil spesifik yang menyokong pengharaman,

* Hujjah yang mengatakan haram semuanya disebabkan wujudnya faktor luaran seperti lupa Allah SWT, judi dan sepertinya, maka jika tiada faktor-faktor ini bak kata Imam al-Ghazzali, semuanya kembali menjadi hukum mubah.

* Qiyas catur dengan an-Nard adalah tidak tepat sebagai pandangan mazhab Syafie kerana an-Nard sememangnya diasasi oleh perjudian berbanding catur yang amat boleh dimainkan tanpa pertaruhan.

Namun begitu, walaupun ia ‘harus dengan syarat' atau ‘makruh' sahaja, saya amat bersetuju dengan fatwa Imam al-Ghazzali yang lebih kurang sama dalam bab muzik. Gunakanlah ia secara terkawal dan tidak terlalu kerap kerana ia umpama ubat, yang tidak boleh terlalu kerap, kelak akan membawa mudarat.

Gunakan ia hanya untuk menghilang kebosanan sama seperti bergurau senda, ketawa, bersukan dan sebagainya. Tentunya penenang yang hakiki adalah pada membaca dan menghayati AL-Quran, zikir dan membaca, namun tidak semua manusia sama status iman mereka, tatkala itu amat relevan kata-kata Nabi kepada Hanzalah dan Abu Bakar r.a yang kerisauan kerana masih boleh berehat-rehat ketiak di rumah dengan isteri dan anak, sedang mereka begitu serius ketika mendengar kuliah Nabi s.a.w berkenaan akhirat dan lainnya :

Ertinya : Wahai Hanzalah ; satu waktu (zikir dan ibadah khusus serta serius) dan satu waktu lain pula ( rehat dan ringan) ( Riwayat Muslim)

Berkenaan hukum menjual catur di dalam mazhab Sayfie, disebabkan mazhab ini mengganggap catur sebagai makruh, hukum menjualnya juga turut makruh. (Al-Majmu', An-Nawawi, 9/243)

JAWAPAN KEPADA SOALAN

Jika demikian perbincangan kita, hukum bermain games PS1,2, dan 3 juga harus dengan makruh jika berlebihan, dan haram hanya apabila melanggar perkara asas yang telah disebutkan di tadi.

Tatkala itu, saya berpandangan, hukum terlibat sebagai programmer computer, grafik animator dan sepertinya bagi pembikinan sesebuah games adalah turut HARUS, namun ia bukankah satu kerja yang terbaik dan terpilih bagi individu yang mahu jelas hilang dari sebarang syubhat.

Unsur syubhat wujud khususnya kerana pencipta permainanan itu TIDAK MAMPU mengawal kekerapan, dan addicted sang pemain serta kelalaian mereka.

Asalnya penjual dan pencipta barang jualan yang bersifat neutral TIDAK menanggung sebarang tanggungjawab jika pembeli menggunakan barang neutral itu untuk tujuan jahat. Seperti penjual lap top computer, pisau, Television, printer dan sebagainya. Semua ini tergolong dalam kategori neutral yang mana pengguna akan menentukan sama ada ia digunakan kepad adosa atau pahala.

Namun berbeza dengan PENJUALAN GAMES; kerana amat diketahui, permainan itu diciptakan sememangnya untuk dimain, menghiburkan pembeli, malah lebih baik jika mampu dicipta kecanggihan sehingga boleh menjadikan pemain ketagih dengannya. Tatkala itu, pencipta games menanggung beban tanggungjawab kepada mainan ciptaannya, berbeza dengan barangan neutral yang saya sebutkan di atas.

Justeru, jika permainanan yang direka yang bersifat pendidikan ilmu fardhu kifayah seperti matematik atau permainan serampang dua mata, hiburan dan pendidikan atau lebih hebat dari itu ia membawa kepada kesedaran Islam. Tatkala itu ia menjadi sunat pula dan pahala yang diperolehi oleh penjual juga.

Hukum boleh berubah pula menjadi HARAM apabila kandungannya dan paparan terdapat hal yang bertentangan dengan Islam.

Sekian



Zaharuddin Abd Rahman


ORIGINAL ARTICLE:
www.zaharuddin.net

Free Template Blogger Hot Deals BERITA_wongANteng SEO
Digg it StumbleUpon del.icio.us

27 Mac 2010 Apa Hukum Merokok ?


Apakah pandangan ust tentang merokok dan hukumnya menurut pandangan Islam, saya ada mendengar ada ust-ust yang mengatakan terdapatnya ulama silam yang hanya menghukumnya sebagai makruh dan tidak haram, adakah ia benar?- Klang-

Jawapan :

Sebelum saya memasuki jawapan, suka saya mengingatkan bahawa pemerintah kerajaan Islam silam, Sultan Murad ke-4 (memerintah 1623-1640 m) sangat kuat memusuhi rokok, sehinggakan beliau pernah melaksanakan undang-undang bunuh bagi penjual-penjual rokok dan perokok aktif di dalam Negara.

Adapun dari sudut hukumnya ; sebagai asasnya, para ulama berbeza pandangan dalam menentukan hukumannya berdasarkan berbezanya tanggapan masing-masing terhadap keburukan (mudarat) yang terhasil dari rokok. Hakikatnya, dalam hal ini, sebarang fatwa mestilah dirujuk kepada "ahl az-zikr" dalam halnya, "ahli az-zikr" dalam hal rokok adalah doktor perubatan (selain ulama) yang mampu mengenalpasti impak buruk dari rokok kepada tubuh dan kehidupan. Maka sebarang fatwa ulama yang tidak dibuat berlandaskan maklumat lengkap dari para doctor perubatan atau pakar kimia adalah kurang tepat dan tidak sepatutnya dijadikan pegangan.

Secara ringkasnya ulama terbahagi kepada 2 kumpulan dalam hukum rokok. Ia seperti berikut :-

1) HARAM :

Ia adalah ijtihad oleh majoriti ulama kontemporari termasuk Dar Al-Ifta Mesir, Lajnah Fatwa Saudi, Lajnah Fatwa Azhar, seluruh ahli persidangan Mencegah rokok ( persidangan di Madinah pada 2-5 Mac 1982) , Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Mahmud Syaltut, Syeikh Sayyed Sabiq, Syeikh Ahmad Syurbasi, Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaat, Syeikh Atiyyar Saqar. ( Akhbar al-Jumhuriyyah, 22 Mac 1979 ; Fatawa Muasiroh, 1/667; Al-Fatawa li Muhd Syaltut, Yasalunaka oleh Syurbasi dan Fiqh As-Sunnah)

Ulama silam yang mengatakan haram pula adalah Syeikh muhd alauddin haskafi al-hanafi, syeikh sulaiman al-Bujairimi as-Syafie, Syeikh Mustafa ar-Rihbani, Syeikh Ibrahim al-Laqqani al-Maliki dan ramai lagi. (Al-hukm as-Syar'ir fi at-Tadhin, Kumpulan Ulama, Kementerian Kesihatan Sedunia, 1988, hlm 25-26)

Kumpulan ini semakin kuat mengharamkan apabila terdapat maklumat yang menyebut terdapat unsur arak dan racun di dalam rokok, maka ia adalah seperti darah dan bangkai yang diharamkan kerana unsur kotor dan racun ( seperti nikotin, tar, alcohol methnol, karbon monoksida, ammonia dan lain-lain ) yang terkandung di dalamnya. ( Abu Ubaidah al-Mashur, At-ta'liqat al-hisan dzayl tahqiq al-Burhan, hlm 28 ; Dr Abd Sabur as-Shahin, As-Sajayir Halalun am Haramun,hlm 34-35 )

Pada tahun 1962, Fakulti Perubatan Diraja Britain mengesahkan kesan buruk rokok terhadap kesihatan, pada tahun 1964 Fakulti Kedoktoran Amerika mengeluarkan satu kajian setebal 387 halaman dan diterbitkan kandungannya di akhbar yang menyebut "Merokok memudaratkan kesihatan secara pasti, ia juga menyebut "rokok menjadi penyebab pelbagai penyakit membunuh " ( Rujuk Mahmud Nazim, At-Tibbun An-Nabawi Wal ‘Ilmi al-Jadid, 1/346 )

Maka dengan kenyataan-kenyataan ini Allah SWT menyuruh kita agar merujuk kepada ahli dalam sesuatu ilmu sebagaimana erti firman Allah SWT

" Maka hendaklah kamu bertanya kepada yang berpengalaman" ( Al-Furqaan : 59 ) ;

Oleh kerana itu, pandangan pakar perubatan dalam hal ini tidak boleh diketepikan oleh para ulama dalam membuat sebarang fatwa.

Selain keburukan dari sudut kesihatan, ia juga boleh memudaratkan hubungan kemasyarakatan dengan sebab baunya yang kuat dan busuk. Hal ini tidak dibenarkan oleh Islam berdasarkan sabda Nabi SAW ertinya

" Tiada boleh memberi mudarat dan membalas mudarat" ( Riwayat Malik, 1/122; Ad-Dar Qutni, 4/228; Al-Hakim 2/66 ; Sohih kata Hakim, dan di atas syarat Muslim kata az-zahabi, Albani : Ia punyai banyak jalan yang menguatkan satu sama lain sehingga naik ke darjat Sohih)

Hadith lain pula menyebut :

" Sesiapa yang memakan dari pokok ini , berkata bawang merah, bawang putih maka janganlah mendekati masjid-masjid kami, sesungguhnya (bau yang busuk) itu menyakiti Malaikat sebagaimana ia menyakiti manusia" ( Riwayat Al-Bukhari, KItab al-Azan, no 807 ; Muslim, Kitab Masajid wa Mawadi' as-Solat, no 876 )

2) HARUS MENGIKUT KEADAAN


Ulama yang dipihak ini adalah Syeikh Abd Ghani an-Nablusi, Syeikh Muhd Amin Ibn ‘Abidin, Syeikh Hasanain Makhluf (berpendapat hukumnya secara terperinci menurut keadaan ), Syeikh Hasan Makmun.

Antara dalil mereka adalah asal segala sesuatu yang tidak mudarat adalah halal dan beberapa dalil yang lain. Bagaimanapun, kesimpulan dalil mereka adalah lemah kerana ia bersandarkan pandangan mereka tanpa maklumat berkenaan keburukan dari sudut perubatan pada zaman itu. Hasilnya mereka memberikan fatwa hanya berdasarkan bau asap rokok yang busuk dan mengganggu, ketika itu, sudah tentu bau yang busuk sahaja tidak mampu menyebabkannya menjadi haram. Jelaslah pandangan mereka tidak mengambil kira maklumat baru perubatan.

Justeru, pada hemat dan kajian saya, hukum yang lebih tepat adalah Haram merokok kerana mudarat yang pelbagai dari sudut kesihatan tubuh sendiri, orang lain, dan baunya yang mengganggu orang lain. Malah kaedah Islam menyebut :

"Ad-Darar Yudfa' Bi Qadaril Imkan" ;

Ertinya : "Kemudaratan hendaklah ditolak sedaya upaya dan kemampuan" (Al-Madkhal Al-Fiqhil ‘Am, Syeikh Mustafa Az-Zarqa, 2/992)

Cuma Syeikh Al-Qaradawi di dalam Fatawanya (Fatawa muasiroh, 1/667) menjelaskan hukumnya berkata ( dengan sedikit ubahsuai olahan ) :-

a- Sekiranya seorang perokok cuba sedaya upaya memberhentikan tabiat rokoknya, bagaimanapun ia gagal, maka ia patut terus mencuba dan diberikan uzur setakat yang ia gagal. Perlulah ia menghalang dari menyebarkan tabiatnya kepada orang lain.

b- Walaupun ianya haram, tapi tidaklah haramnya besar seperti zina, mencuri dan lain-lain dosa besar. Setiap perkara haram ada tahapnya di sisi Shariah, ada yang dikira dosa besar dan ada yang kecil.

Dosa hasil rokok bolehlah di katakan termasuk dalam dosa kecil. Bagaimanapun perlu diingat, Ibn Abbas r.a menegaskan bahawa dosa kecil pasti menjadi besar apabila berterusan atau kesannya benar-benar memudaratkan. Kesimpulan Al-Qaradawi, rokok adalah haram secara pasti bagi MEREKA yang belum merokok, dan makruh(dibenci Allah) bagi seisapa yang telah terjebak sehingga sukar untuk keluar darinya dan masih berusaha. Apa yang pasti, segala jenis usaha bagi memberhentikan aktiviti buruk ini mesti dicari segera. Wallahu a'lam.

Zaharuddin Abd Rahman


ORIGINAL ARTICLE:
www.zaharuddin.net

Free Template Blogger Hot Deals BERITA_wongANteng SEO
Digg it StumbleUpon del.icio.us

19 Januari 2010 MEMBINA KEKUATAN DIRI


Marilah sama-sama kita mempertingkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan menunaikan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya, mudah-mudahan kita tergolong di dalam golongan orang yang paling bertakwa.

Aqidah yang mantap ditunjangi oleh iman yang kukuh adalah sumber kekuatan dalaman diri insan. Ia mendorong seseorang untuk berfikir, berusaha, bekerja, beramal ibadat dengan penuh yakin dan bersungguh-sungguh. Ia juga menjadikan seseorang mampu berhadapan dengan sebarang halangan dengan penuh tabah, mampu berdepan dengan apa jua dugaan dengan penuh sabar pasrah. Itulah keajaiban iman.

Iman yang terpahat kukuh dalam hati, akan terpancar dalam tingkah laku seseorang. Jika ia bekerja, ia akan melaksanakan kerjanya itu dengan penuh tekun dan bertanggungjawab. Jika ia bercakap, ia yakin dengan apa yang diucapkan. Jika ia beribadat, ia akan menunaikannya dengan penuh ikhlas dan ihsan. Jika ia berjanji, ia akan menunaikan janjinya dengan penuh jujur. Jika ia berjuang, ia tegas dalam perjuangannya. Firman Allah SWT :

"Katakanlah: "Wahai kaumKu, buatlah sedaya upaya kamu (untuk menentang agama Islam yang Aku sampaikan itu), Sesungguhnya Aku juga tetap berusaha dengan bersungguh-sungguh ( untuk mengembangkannya), kamu kelak akan mengetahui. Siapakah yang akan didatangi azab yang menghinakannya serta akan ditimpakan kepadanya azab yang berkekalan?". (Az-Zumar:39-40)

Membina kekuatan diri yang berpaksikan kepada kekuatan aqidah dan keutuhan iman adalah satu tanggungjawab setiap orang Islam. Kekuatan diri seseorang muslim, menjadikan ia sangat dicintai oleh Allah SWT. Sebuah hadis Rasulullah SAW ada menyentuh perkara ini :
"Daripada Abi Hurairah r.a bahawasanya ia telah bersabda :
Seorang mukmin yang kuat itu adalah lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada seorang mukmin yang lemah, dan pada masing-masing terdapat kebaikan, utamakan apa yang memberi faedah kepada kamu dan mohonlah pertolongan dari Allah dan jangan kamu menjadi lemah. Kalau kamu ditimpa sesuatu janganlah berkata : Kalau aku lakukan begini sudah tentu akan berlaku, tetapi katakanlah : Ia takdir Allah, apa yang dikehendaki Allah dilakukanNya, kerana sesungguhnya perkataan (kalau) membuka pintu perbuatan syaitan". (Riwayat Muslim)

Dalam hadis yang dibacakan tadi, sudah ada beberapa saranan untuk menjana kekuatan diri :

1- Utamakan apa yang memberi faedah kepada diri sendiri, antara contohnya : Ibadat, ilmu, harta yang halal, pembantu dan sahabat yang baik, keturunan yang soleh, sifat-sifat mahmudah dan banyak lagi. Segala-galanya itu jika diutamakan akan memberikan kekuatan kepada diri seseorang.
2- Mohon pertolongan dari Allah. Dalam suasana apa sekalipun Allah SWt mesti dijadikan tempat pergantungan bukannya kepada makhluk Nabi Yaakob r.a pernah melakukannya seperti firman Allah SWT : "Dan kepada Allah jualah dipohonkan pertolongan mengenai apa yang kamu katakan itu".(Yusuf: 18)
3- Jangan menjadi lemah, kuatkan azam, utuhkan keyakinan dalam menghadapi apa jua suasana dan perubahan.
4- Jangan berlaku begitu begini dalam menghadapi apa jua ujian atau bencana, kerana 'KALAU' tidak akan menghasilkan apa-apa natijah.
5- Jangan memberi laluan kepada syaitan untuk menguasai diri kita, antara caranya ialah sentiasa memohon perlindungan kepada Allah SWT diri syaitan, banyakkan zikir mengingati Allah SWt kemudian bertawakal kepadaNya.

Manusia sebagai makhluk sebaik-baik kejadian, dianggap sebagai penguasa ke atas makhluk lain kiranya dia seorang insan yang baik dan mempunyai kekuatan diri. Sebaliknya dia akan dilaknat dan dihina di langit dan di bumi, malah ia lebih ringan dari debu yang berterbangan, kiranya ia hina dan lemah.

Seorang muslim yang kuat, akan dipandang sangat hebat dan perkasa oleh makhluk lain. Oleh itu dia wajib merasakan dengan kekuatan iman dan keyakinan yang ada dalam jiwanya. Nabi Allah Musa a.s yang telah memperlihatkan kekuatan jasmaninya dan juga kekuatan rohani yang dihiasi pula dengan sifat-sifat terpuji, telah menarik perhatian dua orang anak gadis Nabi Allah Syuib a.s, salah seorang mereka telah mencadangkan kepada ayah mereka agar Musa diambil untuk bekerja dengan mereka seperti yang telah disebutkan oleh Al-Quran :

" Salah seorang anak Nabi Syuib berkata : "Wahai ayah, ambillah dia menajdi orang upahan (mengembala kambing kita), Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah". (Al-Qasas: 26)

Jika seseorang muslim itu lemah imannya dan lemah dirinya, nescaya akan dihinggapi penyakit-penyakit lemah yang lain, antaranya :

1- Lemah semangat yang menjadikan dia seorang yang tidak bermaya dalam menjalani kehidupannya.
2- Takut menghadapi cabaran, menjadikan dia seorang yang sentiasa ketinggalan daripada orang lain.
3- Tidak teguh pendirian, mudah tewas dan sentiasa kalah dalam apa jua persaingan.
4- Was-was, tidak tahu menilai mana yang benar dan mana pula yang salah. Tidak berani melaksanakan tuntutan agama iaitu amar maaruf dan nahi mungkar.
5- Bakhil, sentiasa dibayangi perasaan takut kehilangan hartanya jika ingin menderma atau sebagainya.

Umat Islam hari ini gagal berperanan sebagai peneraju dunia, mereka gagal berfungsi sebagai pemacu tamadun dunia, sedangkan 800 tahun yang lampau, kedua-dua peranan ini berada di tangan orang Islam. hari ini kita tertinggal dalam bidang ekonomi, sedangkan 2/3 kekayaan bumi berada dalam dunia Islam. Kita ketandusan ilmu, sedangkan dahulu kita adalah pencetus dan pemangkin ilmu. Umat Islam juga tercicir dalam perlumbaan kecanggihan sains dan teknologi. Dalam diri umat Islam wujud berbagai-bagai nilai dan andaian negatif yang tidak selayaknya ada dalam diri muslim yang kuat.

Apa sudah jadi dengan umat Islam?, jawapannya tidak lain seperti yang pernah diperingatkan oleh Rasulullah SAW, mereka ditimpa penyakit Al-Wahn - lemah yang menyebabkan mereka sangat sayangkan dunia dan bencikan kematian.

Marilah kita merenung kata-kata Sheikh Muhammad Al-Ghazali seorang tokoh pemikir Islam yang tersohor :

" Di antara cara yang membolehkan seseorang muslim itu menjadi gagah dan kuat ialah dengan menjauhkan diri dari kehidupan maksiat dan berpeleseran, sebaliknya hendaklah membiasakan dirinya dengan kehidupan yang bersih lagi lurus, kerana seorang yang tidak punya kehormatan dan dan maruah diri, orang itu bukanlah orang yang kuat, walaupun ia memakai pakaian hulubalang dan menjadi pengikut Raja".

" (Ingatlah) ketika orang munafik dan orang yang ada penyakit dalam hatinya (merasa ragu) berkata, " mereka (muslimin) itu telah ditipu oleh agama mereka (kerana mereka keluar untuk memerangi kami yang lebih besar bilangannya)". (Hakikatnya) sesiapa yang bertawakal kepada Allah (dengan sebenar-benarnya), maka sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Al-Anfaal:49)

Ya Allah, Engkaulah tuhan yang Maha Berkuasa, kami bersyukur kehadratMu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju dan sejahtera. Jesteru kami pohon kehadratMu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujianMu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.


Almuslimin.net



Free Template Blogger Hot Deals BERITA_wongANteng SEO
Digg it StumbleUpon del.icio.us

24 Disember 2009 SISTEM AKHLAK DALAM ISLAM







Allah SWT telah berfirman dalam sebuah ayat yang ertinya
“Dan penuhilah janji mu kepada-Ku nescaya Aku penuhi janji-Ku kepada mu dan hanya kepada Aku kamu harus takut .”

SISTEM AKHLAK DALAM ISLAM
Permasalahan akhlak adalah merupakan permasalahan besar yang dihadapi oleh semua umat Islam di dunia, kerana akhlak adalah merupakan tunggak pembangunan atau keruntuhan sesuatu Ummah. Di pandang dari sudut realiti masyarakat dunia hari ini, ternyata sekali bahawa dunia sedang menghadapi keruntuhan akhlak yang amat tenat. Nilai-nilai kemanusiaan, kebaikan telah dan sedang tergugat. Neraca yang digunakan oleh masyarakat dan individu dalam menilai sesuatu yang baik buruk tidak lagi menurut lunas-lunas yang sepatutnya, malah kebanyakannya adalah menurut runtunan hawa nafsu yang dilahirkan oleh fahaman-fahaman yang bersifat kebendaan.

DEFINISI AKHLAK
Menurut istilah bahasa akhlak bererti tabiat, kebiasaan dan marwah. Ilmu akhlak adalah sejenis ilmu falsafah amaliah, disebut juga dengan falsafah akhlak. Menurut istilah ilmu akhlak, akhlak memberi erti : serumpun nilai-nilai dan sifat-sifat yang sebati di dalam diri seseorang.

PENTINGNYA AKHLAK
Akhlak amatlah penting kepada kehidupan manusia kerana :
1. Akhlak amat besar pengaruh dan kesannya terhadap tindak tanduk dan gerak langkah seseorang. Baik dan buruknya perlakuan seseorang adalah bergantung kepada nilai akhlak mereka.
2. Untuk meningkatkan insaniah insan sehingga ke tahap sesuatu ummah insaniah yang benar-benar tinggi dan berkualiti.
3. Untuk membuat penilaian yang tepat terhadap sesuatu perbuatan. Bertolak dari titik ini, salah atau benarnya penilaian yang dilakukan oleh seseorang adalah bergantung rapat dengan buruk atau baiknya nilai-nilai akhlak yang terdapat dalam diri seseorang. Penilaian yang dilakukannya ini akan sejajar dengan nilai-nilai akhlak yang terdapat dalam dirinya.
4. Untuk keharmonian, kesejahteraan, kedamaian, keamanan dan kebahagiaan semua anggota dalam masyarakat dari perbagai lapisan dan darjat satu kedudukan.

KEDUDUKAN AKHLAK DALAM ISLAM
Akhlak mendapat kedudukan yang tinggi dalam Islam, ini dapat dilihat dari beberapa sebab:
1. Islam telah menjadikan akhlak sebagai illat (alasan) kenapa agama Islam diturunkan. Hal ini jelas dalam sabda Rasulullah : Maksudnya : Aku diutus hanyalah semata-mata untuk menyempurnakan akhlak-akhlak yang mulia.
2. Islam menganggap orang yang paling tinggi darjat keimanan ialah mereka yang paling mulia akhlaknya. Dalam hadis telah dinyatakan : Maksudnya : Telah dikatakan Ya Rasulullah, mukmin yang manakah paling afdhal imannya, Rasulullah s.a.w. bersabda orang yang paling baik akhlaknya antara mereka.
3. Islam telah mentakrifkan “Addin” dengan akhlak yang baik. Dalam hadis telah dinyatakan bahawa telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. Maksudnya : Apakah Addin itu ? Sabda Rasulullah, akhlak yang baik Ini bererti bahawa akhlak itu dianggap sebagai rukun Islam samalah keadaannya dengan wukuf di pandang Arafah dalam bulan Haji berdasarkan kepada sabda Rasulullah: “Haji itu (amal haji) ialah wukuf di Padang Arafah, Wukuf di padang Arafah adalah dianggap sebagai salah satu rukun amal haji, demikian juga keadaannya pada akhlak.
4. Islam menganggap bahawa akhlak yang baik adalah merupakan amalan yang utama dapat memberatkan neraca amal baik di akhirat kelak. Hal ini telah dinyatakan dengan jelasnya dalam hadis Rasulullah : “Perkara yang lebih berat diletakkan dalam neraca hari akhirat ialah takwa kepada Allah dan akhlak yang baik” Dari hadis ini jelas kepada kita bahawa timbangan amal baik kita di akhirat dapat ditambah beratnya dengan akhlak yang baik. Di samping itu kita ketahui juga bahawa akhlak dan takwa sama statusnya dari sudut ini, yang mana kedua-duanya merupakan perkara paling berat yang diletakkan dalam neraca akhirat.
5. Dalam ajaran Islam dinyatakan bahawa mereka yang berjaya memenangi kasih sayang Rasulullah dan mendapat sesuatu kedudukan yang hampir dengan Rasulullah pada hari akhirat ialah orang yang lebih baik akhlaknya. Dalam hadis Rasulullah s.a.w. telah bersabda : Maksudnya : Yang paling aku kasihi di antara kamu dan yang paling dekat kedudukannya padaku di hari akhirat orang yang paling baik akhlaknya di antara kamu”.
6. Dalam ajaran Islam juga dinyatakan bahawa akhlak adalah merupakan syarat untuk membebaskan diri dari azab neraka dan memenangi syurga. Dalam hadis Rasulullah s.a.w. telah dinyatakan bahawa telah berkata kepada Rasulullah : Maksudnya : Engkau sipulanah sentiasa berpuasa di siang hari dan bangun malam untuk sembahyang sunat tetapi beliau jahat akhlaknya, beliau sentiasa menyakiti jirannya. Rasulullah bersabda “Tiada kebaikan padanya, dia tergolong dalam golongan ahli neraka. Jelas sekali dalam hadis ini bahawa ibadah puasa sunat dan sembahyang sunat di malam hari tidak dapat menebus dan menutup akhlak yang jahat, seperti yang berlaku kepada perempuan yang diceritakan dalam hadis di atas.
7. Rasulullah sentiasa berdoa kepada Allah supaya memperbaiki akhlaknya, sedangkan beliau tergolong dalam golongan mereka yang baik akhlaknya. Sebagaimana yang terdapat dalam firman Allah dalam Surah Al-Qalam ayat 4 : Maksudnya : Sesungguhnya engkau berbudi pekerti agung. Beliau sering berdoa : Maksudnya : Tuhanku, tunjukilah aku akhlak yang paling baik. Allah telah memuji Rasulnya Muhammad S.A.W. kerana akhlaknya yang mulia, Firman Allah dalam surah Al-Qalam ayat 4 : Maksudnya : Sesungguhnya engkau berbudi pekerti agong Pujian yang berdasarkan kepada akhlak yang agong ini menunjukkan betapa tingginya kedudukan akhlak pada pandangan Allah.
8. Banyak terdapat ayat-ayat Al-Quran yang menyentuh persoalan akhlak, baik dengan cara memerintah supaya berakhlak mulia atau menegah dari akhlak yang rendah dan keji sebagai contoh :
a) Berbudi baik kepada ibu bapa – Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 83 Maksudnya :Dan berbuat baik kepada kedua ibu bapa
b) Menunaikan janji – firman Allah dalam Surah Al-Israk ayat 34 :Maksudnya : Tunaikanlah janji sesungguhnya janji itu satu tanggungjawab.
c) Tegahan dari bersifat bakhil :Maksudnya : Dan jangan biarkan bangsa kamu berpunca dilengkok kamu dan banyak lagi contoh-contoh yang lain.

JALAN PEMBENTUKAN AKHLAK
Di sana banyak terdapat jalan-jalan yang dapat digunakan dalam usaha-usaha membentuk akhlak. Antaranya :
1. Ilmu, yakni mengetahui jenis-jenis akhlak yang mulia dan keji. Tanpa ilmu Muslim tidak akan dapat membezakan antara akhlak yang baik dan buruk. Islam telah menjelaskan akhlak yang baik dan yang buruk. Kewajipan seseorang Muslim hanyalah untuk mempelajari dan mengkoreksi dirinya, melihat di mana kedudukannya berbanding dengan akhlak-akhlak tersebut, dan seterusnya bertindak melakukan perlaksanaannya.
2. Mengetahui betapa pentingnya akhlak-akhlak tersebut pada dirinya, kerana permasalahan akhlak berhubung terus dengan masalah iman dan takwa. Di samping itu beliau haruslah mengetahui apakah keburukan yang akan diterimanya akibat dari akhlak yang buruk dan keji.
3. Menyemadikan nilai-nilai akhlak yang mulia dalam ingatan, sehingga beliau sentiasa waspada dan hati-hati dalam tindakannya. Melupai nilai-nilai akhlak yang mulia ini boleh membuat seseorang itu melakukan akhlak yang keji, kerana lupa adalah penyakit ilmu. “Penyakit ilmu ialah lupa”. Inilah yang telah berlaku kepada Adam Alaihissalam sebagaimana yang terdapat dalam Firman Allah :“Sesungguhnya sebelum ini kami menjanjikan kepada Adam (tetapi) beliau lupa”.
9. Bersungguh-sungguh memperkuatkan pengertian akidah islamiah dalam jiwa, terutama pengertian-pengertian yang bersangkut dengan hari kiamat, dan akan menemui mati lambat laun. Dengan memperkuat dan memperdalamkan pengertian akidah islamiah, akhlak seseorang itu akan kukuh, kerana soal akhlak berhubung dengan masalah iman dan takwa.
10. Seseorang yang benar-benar kuat pegangan akidahnya tidak akan merasa hina, kerana beliau sedar bahawa beliau berhubung terus dengan sesuatu kekuatan yang benar-benar Agong, iaitu kekuatan Allah.
4. Seseorang yang benar-benar mukmin tidak akan takut kepada sesama makhluk kerana beliau sedar bahawa segala sesuatu itu daripada Allah belaka, rezeki, celaka, manfaat dan nikmat malah hidup dan mati adalah di tangan Allah. Dengan itu beliau tidak akan bersikap mengampu, rasa hina diri dan hidup berpura-pura.
5. Seseorang yang benar-benar mukmin tidak akan keluk kesah, kerana beliau sering mengingati Allah. Firman Allah dalam surah Ar-Read ayat 30; “Ingatlah …………. dengan mengingati Allah hati akan tenang”
11. Melakukan amal-amal yang dapat mendorong kepada akhlak yang baik di samping dapat memudahkan jiwa menerima akhlak yang mulia. Firman Allah dalam surah Asy-Syamsi ayat 9: “Telah berjaya orang yang telah membersihkannya (jiwa) dan telah rugilah orang yang mencemarkannya”.
12. Menunaikan ibadah yang fardhu dan sunat, kerana ibadat-ibadat ini dapat mentazkiahkan diri. Firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 45 : “Sesungguhnya sembahyang itu dapat mencegah dari kejahatan dan kemungkaran” Firman Allah lagi dalam surah At-Taubah ayat 104 : “Ambillah dari harta mereka itu sedekah yang dapat membersih dosa mendahkiahkan mereka”. Ibadat-ibadat ini amat besar pengarahnya pada jiwa manusia. Ibadat puasa misalnya ; dapat membentuk sifat-sifat sabar dan membina kekuatan iradah (kemahuan), begitu juga ibadah haji adalah merupakan tarbiah amaliah (latihan amali) kepada jiwa dan roh – demikianlah seterusnya ibadat-ibadat lain.
13. Melakukan perbuatan yang bertentangan dengan tuntutan sifat-sifat keji. Misalnya, untuk mengubati sifat hasad dengki boleh dilakukan dengan mengucapkan istigfar dan mendoakan kebajikan kepada orang yang didengki. Sifat takbur umpamanya dapat diubati dengan bercampurgaul dengan golongan miskin dan muhrim, duduk di barisan belakang dalam majlis.
14. Memaksa diri melakukan sesuatu sifat yang dikehendaki, hinggalah sifat tersebut menjadi sebati dengan dirinya.
15. Bergaul dengan orang-orang mukmin yang berakhlak mulia, pergaulan ini akan dapat menularkan sifat-sifat mereka yang mulia itu sedikit demi sedikit. Rasulullah telah bersabda : “Janganlah kamu bersahabat kecuali dengan orang yang beriman dan makanan kamu janganlah di makan kecuali oleh orang yang bertakwa”
16. Berusaha sedapat daya menuruti pimpinan yang baik. Pimpinan yang baik secara mutlak ialah Rasulullah s.a.w. Firman Allah dalam surah Ai-Ahzab ayat 21 : “Sesungguhnya pada Rasulullah itu ikutan yang baik bagi kamu”
6. Selain dari Rasulullah s.a.w. ialah para sahabat, terutama para khulafa-ur-rashidin. Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Para sahabatku seperti bintang, yang mana satu antara mereka kamu ikut, kamu akan dapat petunjuk”.
7. Meninggalkan suasana yang telah rosak akhlaknya dan mencampuri suasana atau jamaah yang saleh.
8. Meninggalkan suasana yang rosak akhlak di sini bukanlah bererti meninggalkan masyarakat, yang dimaksudkan ialah menghijrahkan perasaan kita dari masyarakat yang telah rosak itu di samping berusaha mendampingi jamaah-jamaah yang baik akhlaknya.
17. Mengambil berat tentang akhlak yang mulia dan menganggapnya sebagai mutiara mahal yang harus dimiliki.
18. Melatih diri menerima nasihat orang. Pada hakikatnya orang yang memberi nasihat berhak menerima terima kasih kita, kerana kita selalunya berterima kasih kepada orang yang menyelamatkan kita dari bahaya. Demikianlah juga orang yang memberi nasihat telah cuba menyelamatkan kita dari bahaya keburukan akhlak yang kita lakukan.

KESIMPULAN
Dari penjelasan ini kita dapat membuat beberapa kesimpulan :-
1. Akhlak amat penting dalam penghidupan manusia memandangkan besarnya pengaruh akhlak kepada tindak tanduk manusia, sehingga pada ketika-ketikanya nilai-nilai akhlak yang terdapat pada diri seseorang itu bertindak menjadi neraca penilai kepada sesuatu perbuatan.
2. Akhlak mendapat kedudukan yang tinggi pada pandangan Islam.
3. Sistem akhlak dalam Islam dapat membezakan dirinya dengan sistem akhlak yang lain melalui ciri-cirinya yang khusus.
4. Akhlak dapat dicapai dan dibentuk melalui daya usaha manusia sendiri melalui cara dan wasilah mencapai dan membentuk akhlak dalam diri.

PENUTUP
Dengan penjelasan ini juga kita telah mengetahui serba sedikit tentang sistem akhlak dalam Islam. Pengetahuan kita yang serba sedikit ini menuntut kita bertindak melakukan perlaksanaannya dalam kehidupan kita, kerana dengan mengetahui sahaja tanpa dituruti dengan tindakan perlaksanaan ianya tidak akan mendatangkan faedah yang diharapkan. Oleh yang demikian kita berkewajipan bertindak melaksanakan tuntutan pengetahuan kita, kita mulakan dari diri kita, keluarga kita, masyarakat kita seterusnya negara kita. Andainya kita sungguh-sungguh dalam mengusahakan perlaksanaan ini Allah akan menolong kita. Firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 69 :
“Dan mereka yang berjihad pada (jalan) kami, kamu akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami” Itulah janji Allah, dan Allah tidak akan mungkin janji.

Dalam kita bertindak untuk melaksanakan tuntutan ini kita akan menghadapi tentangan dari masyarakat jahiliah yang berada di sekeliling kita. Tentangan ini adalah menjadi sunnah Allah kepada hambanya, sebab itu Allah berfirman dalam surah Al-Ankabut ayat 2 : “Apakah manusia menyangka bahawa mereka dibiarkan menyatakan “kami telah beriman” sedang mereka tidak akan diuji lagi”.

Ujian-ujian yang berupa tentangan ini harus kita hadapi demi membuktikan keimanan kita yang kuat kepada Allah. Moga-moga kita tergolong dalam golongan orang-orang yang baik dan mulia.

Wallahu a’lam bishshawab.

Almuslimin.net

Free Template Blogger Hot Deals BERITA_wongANteng SEO
Digg it StumbleUpon del.icio.us
Syaringan Pictures, Images and Photos

Followers

 
Hak Cipta Terpelihara uS 49