Firman-Nya lagi dalam ayat 2 Surah al-Mulk maksudnya: "Dialah (Allah) yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) -untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)."
Sementara dalam ayat 214 Surah al-Baqarah pula, Allah SWT berfirman maksudnya: "Apakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu
daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)."
Dalam sebuah hadis disebut, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Apabila Allah SWT sayang kepada hamba-Nya, maka Dia akan mengujinya."
Ketiga-tiga ayat dan hadis yang tersebut di atas menggambarkan kepada kita selaku Muslim, betapa Allah SWT tidak akan membiarkan kita hidup dengan sifar ujian atau tribulasi, malah kesemua kita akan menerima ujian mengikut kekuatan iman dan pegangan kita kepada agama-Nya.
Ini tidak lain adalah untuk mengetahui sejauh mana iman kita yang sebenar dan kita pura-pura beriman kepada-Nya.
Sesungguhnya menurut para ulama, ujian dan tribulasi adalah satu peraturan yang telah ditentukan Allah dalam dunia dakwah untuk menyeru manusia kepada kebenaran sepanjang masa tanpa berhenti sejak Allah menciptakan bumi ini dan apa-apa
yang ada di atasnya.
Justeru, bagi golongan pendakwah, mereka sentiasa terdedah kepada risiko ujian dan tribulasi yang sebenarnya, menjadi asam garam dalam perjuangan, malah memantapkan lagi tugasan mereka menyeru manusia kepada Allah SWT. Ini kerana ia adalah sunnatullah yang pernah berlaku kepada baginda Rasulullah, para sahabat, tabi'in serta generasi para ulama hingga ke hari ini.
Apa pun para pendakwah perlu memelihara aspek berikut bagi memastikan kesinambungan dakwah terus berlangsung:
1. Mendekatkan diri kepada Allah dan meletakkan al-Quran perkara penting ketika berdakwah -
Perkara paling penting yang mesti dilakukan oleh para pendakwah atau mana-mana individu Muslim yang menghadapi tribulasi ujian, memperbaiki hubungan baik kepada Allah dengan berniat semua yang dilakukannya adalah kerana-Nya.
Dialah sahaja tempat bergantung harap dan menyampaikan pengaduan. Al-Quranlah satu-satunya wasilah terbaik bagi melakukan hubungan terhadap-Nya, ini kerana sesiapa yang berpegang teguh kepadanya, akan diselamatkan Allah walaupun menerima pelbagai tekanan manusia durjana yang menghalangi kerja-kerja dakwah.
2. Sentiasa berpegang teguh kepada taat setia rukun bai'ah - ia mengandungi 10 rukun seperti yang diketengahkan oleh Imam Syahid Hasan al-Banna, iaitu konsep faham, ikhlas, beramal, berjihad/berjuang, sanggup berkorban, cekal, tetap pendirian, memberikan ketaatan maksimum, persaudaraan dan percaya kepada kepimpinan. Ia juga dijelmakan melalui pembentukan syaksiah jati diri Muslim dengan memaparkan akhlak-akhlak terpuji yang mencerminkan empunya diri bersedia menerima sebarang kemungkinan termasuklah tribulasi yang mendatang.
3. Memperkasa jalinan ukhuwwah dan penyatuan saf kerja - Aspek ini juga dianggap penting kerana sahabat-sahabat dalam satu saf jemaah adalah mereka yang sentiasa bersedia memberi sokongan, justeru memperkasa jalinan ukhuwwah adalah tersangat penting bagi mendapat sokongan padu dalam berjemaah.
4. Cekal dan saling mempercayai kepimpinan adalah tunjang kekuatan jemaah - ia adalah antara ciri terpenting dalam memastikan kesinambungan dakwah dengan meyakini janji-janji Allah dengan memelihara kesetiaan kepada pimpinan dengan melaksanakan manhaj yang tepat dan tetap serta mengharapkan pertolongan daripada Allah SWT dengan tidak berganjak sedikit pun di belakang pimpinan.
5. Tidak berganjak daripada manhaj dan pendekatan dakwah walau ditohmah -
Ini adalah salah satu tanggungjawab Muslim yang bekerja secara padu dalam gerakan Islam dengan sanggup berhadapan dengan pelbagai tribulasi dan ujian, kerana istilah takut hanya diberikan kepada Allah SWT.
Ia bertepatan dengan firman Allah menerusi ayat 83 surah an-Nisa' yang bermaksud:
"Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada -"Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) di anfara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihan-Nya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut syaitan kecuali sedikit sahaja.(iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu)."
6. Berwaspada serta tidak bertindak secara sendiri - Antara pantang larang dalam berjamaah ialah Muslim di dalamnya mestilah sentiasa memiliki sifat kewaspadaan yang tidak menjurus kepada takut dalam bertindak. Tindakannya pula tidak bersifat bersendiri kerana kemenangan daripada Allah tidak dianugerahkan kepada individu, malah kepada jemaah, oleh itu jika terdapat sikap ahli gerakan Islam atau mana-mana jemaah yang bertindak secara solo dalam tindakannya, kemungkinan besar ia akan menghadapi tribulasi akibat kebodohannya sendiri.
7. Beramal secara bersungguh-sungguh - adalah satu lagi produk penting dalam berjemaah, seboleh-bolehnya elakkan dari banyak bertikam lidah atau bertelingkah pada perkara cabang, kata-katanya mesti menepati tindakan yang mencerminkan sebagai anggota gerakan Islam yang matang dan berwibawa, setiap kata-kata yang terbit melambangkan kepekaannya kepada intipati al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.
8. Memperdalami selok belok dakwah generasi terdahulu sebagai contoh untuk berdakwah - Sesungguhnya generasi di kalangan para sahabat dan tabi'in adalah 'role model' terbaik untuk dijadikan contoh dalam disiplin mereka dalam memberikan wala' kepada kepimpinan, sabar, tekun, cekal adalah modal mereka dalam meniti perjuangan menghadapi tribulasi serta mencapai kemenangan daripada Allah SWT.
Hikmah ditimpa ujian
Para ulama bersepakat, bahawa hikmah yang boleh disimpulkan dalam ujian ini, antaranya:
1. Untuk mencapai pengabdian hakiki kepada Allah SWT.
2. Ujian yang menimpa umat Islam secara khusus, adalah untuk mematangkan mereka dalam kehidupan di muka bumi ini.
3. Bertujuan untuk menghapuskan dosa yang dilakukan oleh manusia.
4. Bertujuan untuk memperolehi pahala serta memartabatkan kedudukan mereka di sisi Allah SWT.
5. Dengan adanya ujian, ia memberi peluang kepada manusia untuk memikirkan akan segala kesalahan yang dilakukan pada diri sendiri dan orang lain pada masa lampau.
6. Ujian merupakan satu pengajaran untuk kembali bertauhidkan kepada Allah.
7. Ujian juga mampu untuk menghilangkan rasa ego dalam diri dan menyediakan jalan untuk mendekati Allah.
8. Ujian ditimpakan ke atas manusia adalah untuk menyedarkan mereka akan kelebihan yang ada pada diri mereka setelah diuji.
9. Ujian juga berperanan untuk mendidik manusia menjadi matang dan mantap dalam segenap aspek kehidupan mereka.
10. Untuk mengenal kawan sebenar atau kawan yang berkepentingan, ia boleh didapati setelah adanya ujian daripada Allah.
11. Ujian juga mampu untuk mengingatkan manusia akan segala kesalahan sebagai persiapan untuk bertaubat kepada Allah.
12. Ujian mampu menyingkap hakikat sebenar dunia yang menjanjikan pelbagai tipu daya.
13. Ujian mampu untuk mengingatkan manusia akan kelebihan nikmat kesihatan dan kurniaan Allah.
14. Ujian menjanjikan kerinduan manusia untuk memasuki syurga Allah.
ORIGINAL ARTICLE:
Free Template Blogger Hot Deals BERITA_wongANteng SEO


0 ulasan:
Catat Ulasan