03 Disember 2010 PERLUNYA DAMPINGI MAJLIS ULAMA DAN SOLIHIN





Orang-orang yang berdosa itu bagaikan berada di tempat yang kotor dan najis, langkah yang perlu diambil iaitu bukan sekadar meninggalkan dan menjauhi tempat yang kotor tersebut,tetapi dia mesti beredar dan mencari tempat yang suci dan bersih. Setelah berusaha membersihkan kekotoran dosa yang melekat,maka dia mestilah menjaga kebersihan itu dari sebarang perkara yang boleh mencemarkan.

Sesudah mereka meninggalkan rakan atau orang-orang yang mendorong kepada kemungkaran dosa,hendaklah dia berusaha untuk mendampingi ulama. Kerana jiwa yang sudah dibersihkan dari dosa dan juga menjauhi pergaulan yang boleh menjerumuskan ke lembah kemungkaran, perlu diisi dengan perkara yang makruf iaitu mendekati ulama bagi mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar,supaya corak kehidupan akan bertukar kepada suasana ketaqwaan.

Ulama adalah pewaris nabi yang meneruskan tugas para nabi iaitu mengajak manusia kepada yang makruf dan menyeru manusia meninggalkan yang mungkar.Para ulama adalah pembawa obor ilmu yang menerangi kegelapan jahiliyah, apabila seseorang itu berusaha mendampingi para ulama, bererti dia berusaha mendekati cahaya.

Para ulama adalah golongan yang sentiasa berusaha memberi peringatan, dan peringatan itu amat berguna kepada manusia yang tidak sunyi dari sifat lalai dan lupa.Sebagaimana firman Allah Taala:
وَذَكِّرۡ فَإِنَّ ٱلذِّكۡرَىٰ تَنفَعُ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ
Yang bermaksud:
“Berilah peringatan kerana peringatan itu amat memberi manfaat kepada orang-orang yang beriman.”
(Surah Az-Zariyat ayat 55)

Mendampingi majlis ulama dituntut oleh islam,jika Allah SWT utuskan Nabi S.A.W adalah rahmat kepada sekalian alam, maka para ulama yang mewarisi tugas nabi juga merupakan rahmat Allah Taala yang dihantarkan di kalangan manusia.Para ulama berperanan  membawa manusia ke jalan yang lurus,ibarat kepala keretapi yang membawa gerabak yang panjang, melalui landasan yang lurus.

Selain itu, orang yang sedang bertaubat setelah mereka meninggalkan tempat-tempat yang membawa kepada kejahatan, mereka dianjurkan supaya mendampingi majlis-majlis zikrullah.Makna zikir iaitu ingat kepada Allah SWT bukan sekadar didalam hati dan fikiran, tetapi melaksanakan ingatan kepada hukum-hukum dan peraturan Allah Taala. Iaitu zikir dalam ertikata melaksanakan segala kewajiban terhadap diri,keluarga, masyarakat islam atau jamaah islam dan negara.

Orang yang sentiasa zikrullah itu adalah orang-orang yang sentiasa ingat perkara yang dilarang oleh Allah SWT, dengan itu dia berusaha menjauhinya. Ingat kepada perkara-perkara yang diwajibkan oleh Allah SWT,maka dia berusaha sungguh-sungguh untuk melakukannya sedaya upaya.

Tidak dinamakan zikrullah jika sekadar pada lidah semata-mata, zikir yang hanya pada lidah walaupun diucapkan ribuan kali, namun ia tidak menepati kehendak zikir yang sebenarnya jika amalan hariannya tidak menunjukkan bahawa dia benar-benar ingat kepada Allah SWT. Apalah ertinya lidah menyebutkan Allah sedangkan dia masih lagi terlibat dengan kemungkaran, misalnya dia masih lagi terlibat dengan amalan riba, beli kenderaan secara riba, beli rumah mengikut system riba.Sepatutnya bagi lidah yang sentiasa menyebut Allah, tidak layak baginya jika amalannya bercanggah dengan kehendak Allah Taala.

Kesan dari zikrullah itu mestilah dapat dilihat melalui amalan hariannya, sekiranya bercanggah antara ucapan dan amalan, maka bererti dia sebenarnya jahil terhadap apa yang diucapkan .Maka wajiblah menseragamkan antara ucapan, ingatan dan amalan, kerana sebenarnya yang dikatakan iman itu ialah berikrar dengan lisan, membenarkan dengan hati dan membuktikannya dengan perbuatan.

Dianjurkan juga kepada orang yang bertaubat, setelah dia meninggalkan majlis maksiat, maka hendaklah dia mendekati para fuqara, sedangkan makna fuqara itu ialah orang-orang yang faqir yang tidak memiliki harta.Fuqara yang dimaksudkan di sini ialah orang yang tidak mempunyai pergantungan selain dari Allah SWT, mereka tidak mempunyai apa-apa sandaran sama ada kekayaan harta dan sebagainya, kecuali mereka hanya bersandar dan mengharap pertolongan daripada Allah Taala semata-mata.

Mendampingi para fuqara yang solihin itu akan membawa kesan yang baik kepada hati seseorang, kerana ia akan melenyapkan rasa bangga diri dan juga membesarkan diri.Rasulullah S.A.W adalah seorang yang sangat mengasihi golongan fuqara, malah Rasulullah S.A.W bersedia untuk merendahkan diri dan sudi semajlis dengan golongan fuqara itu.Sedangkan orang-orang yang berharta walaupun kebanyakkannya boleh menghulurkan bantuan kepada golongan fakir itu, tetapi mereka hanya hulurkan bantuan kemudian meninggalkan si fakir itu kerana orang yang berada itu tidak sudi untuk duduk semajlis dengan golongan yang dipandang hina itu.

Rasullullah S.A.W sekembalinya dari mikraj, lalu menceritakan kepada para sahabat tentang pengalamannya melihat syurga .Baginda memberitahu bahawa kebanyakkan penghuni syurga itu ialah dari kalangan fuqara dan miskin.Sedang neraka itu dipenuhi oleh golongan pembesar.Ini menunjukkan  bahawa golongan fakir itu sentiasa ingat dan bergantung nasib kepada Allah, sedangkan orang-orang kaya yang lemah imannya sentiasa bergantung keyakinannya kepada harta benda yang dimilikinya, sehingga dia merasai bahawa harta itu yang memberikan kesenangan kepada dirinya.

Oleh yang demikian adalah wajar orang yang bertaubat itu sentiasa mendampingi para ulama dan juga golongan faqir yang sentiasa ingat akan Allah SWT. Rasulullah s.a.w menjelaskan di dalam sabdanya bahawa antara sebab-sebab Allah Taala menurunkan rezki itu kerana di dunia ini terdapat orang-orang yang lemah yang dizalimi, maka sebab itulah Allah SWT turunkan rezki dari langit ke bumi ini.

Orang-orang fakir yang lemah itu sering merayu dan bergantung harap kepada pertolongan Allah Taala semata-mata, oleh yang demikian Allah SWT turunkan rezki dari langit itu bagi membela hamba-Nya yang tiada tempat meminta pertolongan selain Allah SWT .Ini bererti golongan fakir yang soleh itu merupakan tumpuan perhatian Tuhan, maka amat sesuailah orang-orang yang sentiasa mendapat perhatian Allah SWT itu menjadi sahabat yang sebaiknya untuk kita mendampinginya.

Adapun golongan solihin atau dikenali juga sebagai golongan tok lebai, adapun perkataan lebai itu diambil dari perkataan ‘labba’ yang bererti orang yang sentiasa patuh dan menuntut perintah Allah.Meraka ini adalah termasuk golongan yang wajar didampingi oleh mereka yang bertaubat itu, kerana ia akan memberi kesan yang baik, sebagaimana apabila seseorang berdamping dengan orang yang jahat akan menyebabkan dia turut jahat, maka berdamping dengan golongan yang soleh itu mudah-mudahan akan mendorong menjadi orang yang baik dan beramal soleh.

Maka lakukan apa saja yang boleh mendatangkan kebaikan ketika berdampingan dengan golongan solihin itu, sekurang-kurangnya berjabat salam dengan mereka,kerana berjabat salam itu juga suatu amalan yang baik.Sebagaimana yang pernah dijelaskan oleh Nabi S.A.W bahawa setiap kali seseorang itu berjabat salam dengan orang-orang mukmin, maka setiap kali itu pula dosa-dosa kecil akan gugur bersama-sama dengan gegaran tangan ketika bersalam.

Berjabat salam juga akan mendatangkan pahala yang besar, kerana jabat salam itu boleh mengeratkan tali silaturrahim sesama orang mukmin. Tetapi jabat salam itu janganlah dijadikan satu tradisi, sehingga kadang-kadang kita temui orang-orang yang menjadikan jabat salam itu seperti perkara yang wajib, terutama selepas sembahyang.

Memang diakui oleh islam bahawa jabat salam itu adalah perbuatan yang baik, tetapi tidak sewajarnya ia menjadi suatu kebiasaan yang boleh menggangu orang lain. Misalnya jabat salam selepas sembahyang sehingga mengadakan barisan untuk melakukan jabat salam itu, perbuatan itu boleh mengganggu orang yang hendak melakukan solat sunat dan sebagainya. Jabat salam elok dilakukan sekali sekala kerana ia boleh menimbulkan kemesraan dan kasih sayang sesama orang mukmin. 

Digg it StumbleUpon del.icio.us
Syaringan Pictures, Images and Photos

Followers

 
Hak Cipta Terpelihara uS 49